Sunday, June 7, 2009

alif mim alif nun ta'

Saidina Umar Al Khattab suatu malam keluar bersama Saidina Usman Ibnu Affan melihat rakyat jelata dan keadaan semasa. Ketika sampai di pertengahan perjalanan, mereka melihat satu kafilah perdagangan yang sarat dengan muatan dalam perjalanan menuju ke arah pasar. Selepas seketika, para pedagang tersebut berhenti berehat sehingga terlena di pertengahan perjalana tersebut. Saidina Umar dan Saidina Usman yang melihat keadaan tersebut mendekati kafilah perdagangan tersebut mendapati tiada sesiapun di antara mereka yang berjaga. Oleh itu, Saidina Umar dan Saidina Usman merenung di antara satu sama lain dan memutuskan untuk menjadi penjaga kepada barang-barang dagangan tersebut. Di kala waktu subuh hampir tiba, Saidina Umar mengejutkan para pedagang tersebut untuk bersiap sedia menunaikan solat Subuh.

Peristiwa ini berlaku di zaman pemerintahan Saidina Umar dan Baginda menjalankan tugas sebagai ‘pak guard’ pada masa tersebut kerana rasa tanggungjawab atas amanah yang dipikulnya memastikan keselamatan dan kesejahteraan rakyat jelata sentiasa dipelihara. Begitulah besarnya nilai AMANAH kepada seorang Sahabat kepada junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W yang terkenal sebagai A-Amin (orang yang beramanah).

Perkataan amanah ini seringkali kita lupa dek istilah lain yang seringkali menjadi bahan pujian. Sebagai contoh, apabila kita melihat kehebatan seseorang itu mendapat markah yang tinggi dalam peperiksaan, kepandaiannya dijadikan satu asas kepada status yang sangat tinggi di kalangan rakan-rakan. Contoh-contoh lain sangat banyak mutakhir ini kerana setiap penganjur akan wujudkan pelbagai jenis anugerah tidak cukup dengan anugerah utama. Fenomena ini, jika terlalu mengagongkan kejayaan tanpa didasarkan kepada sikap amanah akan mempromosikan pepatah lama "membujur lalu melintang patah". Dari segi perspektif yang lain pula, ada pekerja atau pelajar sangat beramanah dalam menjalankan tanggungjawab yang digalas, namun amanah yang perlu dipikul sebagai hamba Allah dipandang rendah dan menyusahkan seperti memikul sekam padi yang memiangkan. Keseimbangan dalam persoalan amanah untuk urusan duniawi dan ukhrawi adalah penentu kepada kebahagian di dunia dan akhirat.

Kepentingan amanah ini jelas jika dilihat pada sifat wajib bagi nabi meletakkan sifat amanah mendahului sifat fathonah (cerdik). Walaupun ianya 5 huruf, tetapi melaksanakannya dengan sebaik mungkin bukanlah semudah lima langkah atau lima perkataan tetapi menuntut kepada satu pengorbanan dan jihad yang istiqamah.

Nasihat untuk diri sendiri. Tidak ada kena mengena dengan yang masih hidup ataupun sudah meninggal dunia.

Alfateh.

0 comments: