Tuesday, April 28, 2009

HAKIKATNYA....

Allah adalah Pencipta, Penguasa dan Pemilik 'alam semesta. Allah telah mencipta manusia dan menyediakannya tempat tinggal sementara di muka bumi. Allah telah mengurniakan manusia 'aqal untuk berfikir serta telah memberi kepadanya kemampuan untuk membezakan di antara yang haq dengan yang batil. Manusia juga telah diberikan kebebasan dengan daya ikhtiyar dan hak memilih malah ia juga diberikan kuasa untuk menggunakan sumber sumber 'alam mengikut cara yang disukainya.


Manusia telah ditugaskan untuk menjadi khalifah Allah di muka bumi. Oleh itu ia dituntut untuk beriman dan patuh kepada segala perintah dan peraturan peraturan yang ditetapkan oleh Nya. Dengan 'aqal, daya ikhtiyar dan kemampuan memilih manusia bebas sama ada untuk beriman atau kufur kepada Allah. Tetapi manusia diingatkan bahawa tempat mereka di bumi tidak kekal. Manusia ditetapkan untuk tinggal di atas muka bumi hanya sebagai satu tempat persediaan.


Untuk membolehkan manusia melaksanakan tugasnya maka Allah mengutuskan kepada manusia para rasul dan nabi nabi beserta syari'at dan kitab kitab sebagai panduan dan bimbingan hidup mereka. Rasulullah s.a.w adalah rasul yang terakhir membawa syari'at dan kitab terakhir bagi panduan seluruh manusia hingga ke akhir zaman.


Manusia diperintahkan beriman kepada Rasulullah s.a.w. Dia dituntut untuk menyebarkan risalah Islam yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w. Manusia yang beriman ditugaskan untuk menyeru manusia manusia yang telah terseleweng untuk kembali kepada jalan yang benar. Manusia juga dituntut agar membina diri dan membangunkan seluruh masyarakatnya menurut ajaran yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w.


Apabila tiba masanya setiap manusia akan mati. Selepas itu apabila telah tiba masanya seluruh 'alam ini pula dibinasakan oleh Allah. Sebaik sahaja manusia dibangkitkan semula, semua manusia akan dikumpulkan untuk dihisab. Pada Hari itu tahulah manusia tempat kediaman mereka yang sebenar di Akhirat.

0 comments: