Monday, August 17, 2009

Sahabat

Bijak pandai pernah berkata sahabat umpama duit. Sukar dicari tapi senang hilang dari seseorang.

Ada juga yang mengumpamakan sahabat itu seperti sepasang tangan kiri dan kanan.
Sebelum menjamah makanan, tangan kanan yang menjemput nasi dan mencubit lauk perlu dibasuh. Tangan kiri akan menyinsing lengan baju tangan kanan, kemudian membuka pili untuk membasuh tangan kanan. Tangan kiri akan menggosak tangan kanan sehingga bersih. Setelah dibilas, tangan kiri akan memulas menutup pili air sehingga rapat. Kemudiannya kedua-dua belah tangan akan mengangkat tangan menadah ke langit memohon keberkatan dengan kurniaan rezki yang berana di depan mata sebelum menikmati hidangan. Tangan kanan yang menyentuh nasi, tangan kiri pula bertindak menceduk lauk-pauk yang sesuai menepati citaarasa. Ketika makanan tersangkut di kerongkong, tangan kiri akan mencapai air untuk diminum. Setelah selesai, tangan kanan perlu dibasuh, tangan kiri juga yang akan membantu.
Setelah makan, sudah pasti perut pula akan meragam. Setelah melangkah ke tandas, tangan kiri akan banyak dibantu oleh tangan kanan. Setelah selesai menunaikan hajat, tangan kiri mencuci, manakala tangan kanan pula membantu membuka pili dan menyimbah air untuk membolehkan tangan kiri membasuh sehinggan bersih dan suci. Setelah selesai, tangan kanan pula menghulurkan sabun membantu menyucikan tangan kiri. Masing-masing menggosok di antara satu sama lain. Setelah melangkah keluar dari bilik air, tangan kanan memakaikan jam tangan di tangan kiri, tangan kiri pula menyarungkan cincin di tangan kanan. Masing-masing menghargai di antara satu sama lain. Begitulah betapa akrabnya erti persahabatan sehingga diibaratkan begitu rupa.

Setiap orang mencari sahabat berlainan motifnya. Ada yang bersahabat untuk tujuan rakang kongsi perniagaan, rakan sekerja untuk kepentingan organisasi, rakan ketika masa lapang kerana kebetulan mempunyai hobi yang sama. Biar apapun motifnya, hanya persahabatan yang berlandaskan keimanan dan nawaitunya kerana Allah S.W.T. sahaja sebaik-baik persahabatan. Persahabatan tersebut akan kekal sehingga hari akhirat dan dijamin oleh Allah sebagai salah satu golongan yang akan mendapat perlindungan daripada bahang matahari di padang mahsyar.
Aku pernah mendengar rancangan az-zikra ketika memandu ke pejabat lebih kurang 3-4 minggu yang lalu. Uztaz tersebut menyatakan sekiranya seorang sahabat telah melakukan 4 perkara ini di rumah seorang sahabatnya, itulah tanda-tanda merekalah sahabat yang mempunyai keakraban dan hubungan silaturrahim yang tinggi..

1.Pernah makan dan minum di rumah sahabatnya. Perkara ini tidak menjadi halangan kerana adat ini masih menjadi amalan yang wajib dan mudah dilaksanakan. Setiap orang yang datang ke rumah kita pasti menikmati sedikit makanan. Kadangkala technician yang datang membaikpulih mesin basuhpun dijamu dengan minuman dan kuih-muih.

2. Pernah buang air di rumah sahabatnya. Tuan rumah juga perlulah memastikan bilik air sentiasa bersih untuk tetamu. Bilik air merupakan peribadi sebenar tuan rumah. Kita boleh lihat bilik air yang bersih seperti di Negara Jepun, memang bertepatan dengan sikap rakyatnya yang bersih.

3. Pernah bersolat di rumahnya. Seboleh-bolehnya sembahyang berjemaah bersama-sama (tuan rumah dan tetamu). Alhamdulillah… Nampak begitu indah sekali suasana ini. Apatah lagi setelah solat ada sedikit pengisian tazkirah ringkas yang dapat dikongsi bersama. Inilah amalan yang menjadi contoh terbaik terutamanya kepada anak-anak yang sedang membesar.

4. Pernah tidur di rumah sahabatnya. Perkara ini sukar dilihat sekarang. Amalan ini sesama saudarapun sukar berlaku, apatahlah tetamu yang datang hanya sekadar jawatan sahabat sahaja. Rata-ratanya lebih gemar memilih untuk tidur di hotel. Masing-masing merasakan tidak selesa. Yang hendak menumpang tidur rasa seperti mengganggu tuan rumah, tuan rumah pula rasa seperti tidak mampu memberikan khidmat layanan yang terbaik kepada tetamu. Perkara ini berlaku mungkin kerana kurang kesedaran dan kurang mengetahui betapa besarnya kelebihan kita memenuhi amalan ini. Sekiranya masing-masing dapat memahami betapi besarnya hikmat kita menziarahi dan menginap di rumah sahabatnya dan begitu besarnya hikmat melayani tetamu, sangkaan-sangkaan negative seperti itu hanyalah perkara remeh temeh sahaja.

Renung-renuglah....

0 comments: