Wednesday, June 24, 2009

Keberkatan Hidup

Dua buah kisah ini saya ambil dari e-mail yang dikirim oleh sahabat saya. Semoga ianya menjadi pengajaran dan panduan berguna untuk kita mencari kebahagiaan di dunia dan akhirat.
____________________________________
Kisah-1
Ketika belajar di Universiti Kebangsaan Malaysia , Salleh (bukan nama sebenar) telah bertemu jodoh dengan isterinya Siti Rahmah (bukan nama sebenar). Salleh mengambil jurusan kejuruteraan manakala Siti Rahmah Mengambil bidang perakaunan. Sekarang mereka telah 15 tahun berkahwin Dan Dikurniakan Allah dengan 7 orang anak.

Beberapa bulan yang lepas saya Berkunjung ke rumah Salleh di Kajang. Kebetulan pada pagi Ahad itu selepas Solat Subuh di Masjid Kajang saya bertemu dengan Salleh. Dia terus mengajak Saya ke rumahnya. Dia menyewa rumah teres setingkat tidak jauh dengan Masjid.Saya mengenalinya sejak hampir 10 tahun yang lalu. Pagi itu tidak sedar Kami telah berbual-bual hampir lima jam. Saya ingin berkongsi tentang Keluarga Salleh ini yang pada saya satu contoh keluarga yang mendapat Keberkatan Allah.

1. Salleh bekerja makan gaji Dan pendapatan bersihnya sebulan kurang dariRM3000.

2. Isterinya adalah anak sulung, walaupun berkelulusan ijazah namun menjadi Suri rumah sepenuh masa atas kehendak Salleh. Sebagai penghargaan kerana Isterinya sanggup tidak bekerja, Salleh memberikan RM300 sebulan kepada Ibu-bapa mertuanya setiap bulan.

3. Di samping itu Salleh juga memberi kepada ibunya di kampung RM200 Sebulan. Bapa Salleh telah meninggal dunia.

4. Dia memiliki Toyota Unser dengan ansuran RM500 sebulan.

5. Dia membayar rumah sewa RM400 sebulan.

6. Di rumahnya serba lengkap dengan perabot (TV, Peti Sejuk, Mesin Basuh,Set Sofa) serta teratur Dan kemas.

7. Pelik tetapi benar, bil elektrik di rumahnya kurang dari RM20 sebulanSedangkan jirannya tidak pernah kurang dari RM60. TNB dah buat pemeriksaan Bahawa meter di rumahnya tidak rosak. Begitu juga dengan bil air kurang Dari RM10 sebulan..

8. Empat orang anaknya dihantar ke sekolah agama integrasi.

9. Bayangkan dia boleh hidup dengan Selesa walaupun gajinya kecil jika di Nisbahkan dengan keluarganya yang agak besar.

Sejak berkawan dengannya Ada beberapa perkara yang saya lihat jadi amalan Dia yang patut di contohi;
1. Solat Duha menjadi amalan hariannya walaupun ketika pergi outstation

2. Solat Istikharah menjadi suatu amalan walaupun nak membeli benda yang Kecil seperti nak membeli mesin basuh.

3. Sering membaca Surah Al-Waqiah

4. Tidak terlibat langsung dengan sistem Riba . Dia menggunakan Kredit Kad Bank Islam. Pinjaman kereta pun menggunakan sistem pinjaman Islam.

5. Buat baik kepada Ibu bapa Dan Ibu Bapa mertuanya .

6. Suka menolong orang Dan memberi derma

7. Semua anak-anaknya mempunyai akhlak yang baik dan jarang kena sebarang penyakit.

8. Dia dah empat tahun menggunakan Toyota Unser, sekali pun tidak pernah rosak atau menyusahkannya.

9. Segala masalah yang dihadapi dapat diselesaikan dengan mudah dan cepat.


Kisah-2
Ketika saya bujang dahulu saya sering menziarahi kawan saya, Norizam (bukan Nama sebenar) yang tinggal di Masai Johor. Pada Hari Ahad itu saya sampai Di rumah Norizam selepas waktu Asar. Norizam memperkenalkan Abang dia, Rashid (bukan nama sebenar) yang baru sampai dari Kuala Lumpur . Rashid Berkunjung ke rumah Norizam kerana untuk menghadiri temuduga pada pagi Isnin di Johor Baru.

Kawan saya Norizam ini, dalam beberapa hal dia tidak berpuas hati dengan Abangnya. Kadang kala saya tidak suka mendengar dia merungut tentang Abangnya. Petang itu Norizam merungut lagi iaitu abangnya datang untuk Temuduga kerja sebagai Pengurus Besar (General Manager). Gaji Rashid Sekarang ialah RM10,000 sebulan. Katanya tidak mencukupi. Dia akan mintaGaji sebanyak RM14,000 sebulan untuk tempat baru ini. Saya pun berasa hairan gaji RM10,000 sebulan tidak mencukupi sedangkan Hanya mempunyai dua orang anak sahaja.

Beberapa tahun kemudian baru saya tahu kenapa gaji abangnya RM10,000 tidak mencukupi. Ini Ada kaitan dengan tiada keberkatan hidup.Perkara-perkara yang pada pandangan saya menyebabkan Rashid jadi susah ialah seperti berikut;
1. Banyak sangat terlibat dengan sistem Riba . Pinjaman Kereta, Kad Kredit,Pinjaman Rumah, Akaun Simpanan semuanya Sistem Konvensional (Riba)

2. Menggunakan banyak kad kredit konvensional kemudian bayar pokok sahaja. Bermakna memakan riba yang berterusan.

3. Sering bertukar kereta sebab kereta selalu bermasalah walaupun kereta baru (masalah kena curi dan kemalangan jalan raya)

4. Sering bertengkar dengan isteri.

5. Isteri sering masuk hospital kerana penyakit misteri.

6. Anak perempuan sulungnya yang di tingkatan tiga kena tangkap basah.

7. Suka menengking jika ada orang mintak derma.

8. Soal sembahyang lima waktu dipandang sebelah mata sahaja.

Hidup ini tidak boleh lari daripada proses membuat keputusan. Oleh yang demikian buatlah keputusan untuk memilih jalan yang diberkati dan diredhoiNya....

Alfateh.
24/6/2009.

Sunday, June 7, 2009

KENANGAN KURSUS

Alhamdulillah. Berakhirlah kursus IRBM-JICA Criminal Investigation mulai 2 hingga 5 Jun 2009 di Akademi Percukaian Malaysia. Walaupun jadualnya cukup padat tetapi ilmu yang dicurahkan sangatlah berguna dan sukar diperolehi di tempat lain. JICA adalah agensi yang ditubuhkan di Jepun untuk membantu negara membangun dengan pelbagai bentuk kerjasama. Salah satu diantaranya, JICA dengan kepakaran National Tax Agency, Japan menyumbangkan kepakaran dalam bidang percukaian kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia. Negara matahari terbit itu yang telah melaksanakan Sistem Taksir Sendiri sejak tahun 1947 sudah semestinya layak berkongsi kepakaran kepada LHDNM yang baru sahaja melaksanakan STS ini mulai tahun 2001.

Selain daripada sistem penguatkuasaan undang-undang percukaian yang sangat digeruni oleh rakyat Jepun, sistem pendidikan di negara itu juga telah mendidik kepentingan membayar cukai kepada rakyatnya sejak dari bangku sekolah lagi. Menjadi satu kebanggaan kepada empunya diri sekiranya menunaikan tanggungjawab sebagai rakyat untuk turut sama membantu membangunkan negara.

Walaupun kadar kesedaran dan kepatuhan yang tinggi di kalangan rakyatnya terhadap kewajipan membayar cukai, terdapat sebilangan kecil yang tidak terlepas daripada sikap tidak bertanggungjawab. 'Case study' yang dibentangkan adalah diolah daripada kes sebenar yang diselesaikan dengan kaedah dan teknik siasatan terkini. Ilmu penyiasatan yang telah dibentangkan sangatlah berguna namun ada juga yang perlu diubahsuai sedikit-sebanyak bagi menyesuaikan dengan keadaan Malaysia. Malaysia tidak mustahil akan mencapai tahap keberkesanan dan kecekapan NTA, Japan ini sedikit masa lagi jika dilihat kepada perkembangan dan kerjasama yang berjalan mutakhir kini.

Sedikit gambar kenang-kenangan untuk tatapan para pembaca.

Di hadapan; penceramah Mr Teruo Nakano, Chief, Riview Section, Criminal Investigation Division, NTA, Japan dan penterjemah Ms Rika Watanabe.

Makan malam bersama KP Hasil Dalam Negeri Malaysia; Dato' Hasmah Abdullah (kanan sekali). Berdiri; Ms Kasumi Miura, Depannya; Mr Muroya, berT-shirt jalur; Mr Masato Yamamoto, Kiri sekali; Pn Siti Rosnah.

Ms Kasumi Miura, Investigator, International Division (Criminal Investigation), TRTB, Japan beramah mesra dengan KP Hasil Dalam Negeri Malaysia semasa majlis makan malam.

Tanda penghargaan kepada salah seorang penceramah. Pengarah Akademi Percukaian Malaysia menyampaikan cenderahati kepada Mr koichi Muroya, Assistant Director, Criminal Investigation Division, NTA, Japan.


Majlis Penutup dan Penyampaian Sijil. Wakil JICA (Japan Interntional Corpoation Agency) menyampaikan ucapan.

alif mim alif nun ta'

Saidina Umar Al Khattab suatu malam keluar bersama Saidina Usman Ibnu Affan melihat rakyat jelata dan keadaan semasa. Ketika sampai di pertengahan perjalanan, mereka melihat satu kafilah perdagangan yang sarat dengan muatan dalam perjalanan menuju ke arah pasar. Selepas seketika, para pedagang tersebut berhenti berehat sehingga terlena di pertengahan perjalana tersebut. Saidina Umar dan Saidina Usman yang melihat keadaan tersebut mendekati kafilah perdagangan tersebut mendapati tiada sesiapun di antara mereka yang berjaga. Oleh itu, Saidina Umar dan Saidina Usman merenung di antara satu sama lain dan memutuskan untuk menjadi penjaga kepada barang-barang dagangan tersebut. Di kala waktu subuh hampir tiba, Saidina Umar mengejutkan para pedagang tersebut untuk bersiap sedia menunaikan solat Subuh.

Peristiwa ini berlaku di zaman pemerintahan Saidina Umar dan Baginda menjalankan tugas sebagai ‘pak guard’ pada masa tersebut kerana rasa tanggungjawab atas amanah yang dipikulnya memastikan keselamatan dan kesejahteraan rakyat jelata sentiasa dipelihara. Begitulah besarnya nilai AMANAH kepada seorang Sahabat kepada junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W yang terkenal sebagai A-Amin (orang yang beramanah).

Perkataan amanah ini seringkali kita lupa dek istilah lain yang seringkali menjadi bahan pujian. Sebagai contoh, apabila kita melihat kehebatan seseorang itu mendapat markah yang tinggi dalam peperiksaan, kepandaiannya dijadikan satu asas kepada status yang sangat tinggi di kalangan rakan-rakan. Contoh-contoh lain sangat banyak mutakhir ini kerana setiap penganjur akan wujudkan pelbagai jenis anugerah tidak cukup dengan anugerah utama. Fenomena ini, jika terlalu mengagongkan kejayaan tanpa didasarkan kepada sikap amanah akan mempromosikan pepatah lama "membujur lalu melintang patah". Dari segi perspektif yang lain pula, ada pekerja atau pelajar sangat beramanah dalam menjalankan tanggungjawab yang digalas, namun amanah yang perlu dipikul sebagai hamba Allah dipandang rendah dan menyusahkan seperti memikul sekam padi yang memiangkan. Keseimbangan dalam persoalan amanah untuk urusan duniawi dan ukhrawi adalah penentu kepada kebahagian di dunia dan akhirat.

Kepentingan amanah ini jelas jika dilihat pada sifat wajib bagi nabi meletakkan sifat amanah mendahului sifat fathonah (cerdik). Walaupun ianya 5 huruf, tetapi melaksanakannya dengan sebaik mungkin bukanlah semudah lima langkah atau lima perkataan tetapi menuntut kepada satu pengorbanan dan jihad yang istiqamah.

Nasihat untuk diri sendiri. Tidak ada kena mengena dengan yang masih hidup ataupun sudah meninggal dunia.

Alfateh.

Monday, June 1, 2009

Bersediakah kita?

Berdebarnya perasaan ini bila melangkah ke dewan peperiksaan. Semua peralatan dan bahan-bahan yang tidak berkaitan perlu diletakkan berjauhan. Yang tinggal di atas meja hanyalah alatulis dan calculator sahaja. Rakan-rakan belajar yang juga ahli kumpulan assignment semuanya bertebaran di dalam dewan peperiksaan. Semuanya hanya memikirkan hal-ehwal sendiri. Setelah 12 minggu sama-sama belajar dan berkongsi ilmu, cabaran hari ini perlu dihadapi secara nafsi-nafsi. Ucapan ‘good luck’ yang seringkali diucap oleh rakan-rakan sebelum exam sahaja yang dapat didengar sayup-sayup.

Pantang sedikitpun mata ini menjeguk rakan-rakan sebelah, pengawas peperiksaan cepat-cepat menjeling. Sebelum ini seperti seringakali pernah berselisih dengan pengawas-pengawas ini di sekitar kampus dan pernah masing-masing melontar dan membalas senyuman, tapi kali ini tajam jelingannya menyilaukan pandangan. Inilah perasaan yang tidak dapat dielak apabila hendak menghadapi peperiksaan.

Di kala itu, datang satu pertanyaan bagaimana pula dengan peperiksaan yang setiap orang Islam akan hadapi setelah tempoh masa untuk bersiap sedia di pentas dunia ini berakhir. Itulah dia peperiksaan di alam barzakh. Setiap soalan sudah diketahui. Jawapannya juga sudah dikatahui.

Soalannya;
Siapakah Tuhan kamu?
Siapakah Nabi kamu?
Apakah agama kamu?
Apakah kiblat kamu?
Siapakah saudara kamu?
Apakah pegangan iktikad kamu?
Dan apakah kalimah yang kamu bawa bersama-sama kamu?

Jawapannya;
Allah Taala Tuhanku,
Muhammad nabiku,
Islam agamaku,
kitab suci Al-Quran ikutanku,
Baitullah itu kiblatku, malahan solah lima waktu, puasa di bulan Ramadhan,
mengeluarkan zakat dan mengerjakan haji diwajibkan ke atas aku.
Semua orang Islam dan orang yang beriman adalah saudara aku,
bahkan dari masa hidup hingga aku mati aku mengucap:
"La ila ha illallah Muhammad da rasulullah".

Tetapi, sayangnya bukanlah lidah yang menjawab dengan intonasi yang meyakinkan dan sangat lancar seperti jawapan yang seringakali diperdengarkan semasa talkin dibacakan. Tetapi amalan soleh di dunia sahajalah yang akan menjawabnya. Cukupkah lagi?.

Thursday, May 28, 2009

ULANGTAHUN KEMENANGAN SULTAN MUHAMMAD AL-FATEH

Petikan ini diambil daripada sebuah laman www.harakahdaily.net pada 28/05/2009.
Cerita ini sangat bermakna kepada saya kerana baginda Sultan Muhammad Al-Fateh merupakan tokoh penting dan idola dalam hidup saya. Sejarah baginda menjadi post pertama dalam penghasilan blog ini.

________________________________________
Hari ini, 546 tahun yang silam, Muhammad bin Murad melukir satu sejarah dengan menawan kota yang sangat kuat pertahanannya - Konstantinapole.
Tulisan ini cuba melihat bagaimana seorang pemimpin seperti Muhamad Murad yang kemudiannya diberikan gelaran Muhammad Al Fatih, telah berjaya dilahirkan. Adakah di sana satu metod tertentu untuk mencetak pemimpin seperti beliau dan bagaimanakah cara untuk berbuat demikian.

Peribadi dan kepimpinan Muhammad Al Fatih menunjukkan beliau mempunyai ciri berikut;

a. Asuhan dan disiplin Islam yang kuat
b. Mempunyai matlamat hidup yang ingin dijayakan
c. Kehendak yang kuat
d. Sabar dan ketahanan ruhani yang kuat
e. Pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan untuk misinya, atau mendapatkan bantuan pakar dalam bidang masing-masing bagi tujuan melengkapkan skil berkenaan
f. Ibadah dan pergantungan yang kuat dengan Pencipta

Sebelum isu ini dikupas lebih lanjut, kita tinjau dulu bentuk pertahanan Kota Konstantinapole itu sendiri yang sangat menakjubkan;

Kota ini berbentuk tiga segi. Dua bahagian kota menghadap laut iaitu Selat Bosporus dan Laut Marmara. Bahagian daratan dilingkungi oleh sebuah benteng yang sangat kukuh;

a. Bahagian luar kota dilingkungi oleh sebuah parit besar. Dalamnya 10 meter dan lebarnya 60 meter
b. Ada dua tembok iaitu tembok luar dan tembok dalam. Tembok luar sahaja setinggi 25 kaki dan setebal 10 meter
c. Tembok dalam pula setinggi 40 kaki tinggi dan 15 meter tebal
d. Terdapat menara kawalan sepanjang tembok dalam dengan ketinggian 60 meter!
e. Terdapat 400 batalion tentera terlatih mengawal tembok ini sepanjang masa

Dengan kedudukan pertahanan seperti itu, hampir mustahil untuk tembok ini dicerobohi.

Di bahagian laut pula, terdapat rintangan rantai besi yang kuat diletakkan di Selat Bosporus yang digunakan untuk menghalang kapal-kapal melepasinya.

Konstantinapole telah menjadi ibu kota Empayar Bizantin untuk berkurun-kurun dan dikenali sebagai kota yang paling makmur dan terkaya di Eropah. Ia terletak di pertemuan antara Asia dan Eropah dan Laut Mediterranean dan Laut Hitam. Justeru, ia sangat strategik baik dari segi perdagangan mahupun geo politik.

Sejak Rasulullah s.a.w mengungkapkan bahawa nanti Kota penting ini akhirnya akan jatuh di tangan seorang pemerintah yang terbaik, memimpin tentera yang terbaik sepanjang zaman, telah banyak percubaan dibuat untuk menawan kota ini, namun tidak berjaya. Sahabat seperti Abu Ayub al Ansari juga telah berusaha dan mereka telah mengepung kota ini selama tujuh tahun, tetapi masih gagal.

Hanya 800 tahun selepas sabda Nabi yang Mulia itu, sabda yang menakjubkan ini menjadi kenyataan. Sultan Muhammad bin Murad yang kemudian lebih masyhur dengan gelaran Sultan Muhammad al Fatih telah memulakan pengepungan ke atas Konstantinapole pada hari Khamis, 5 April 1453 dan berjaya membuka kota ini pada 29 Mei 1453, hari tulisan ini dipostkan.

Sungguhpun pengepungan ini berlangsung selama hampir dua bulan sahaja, program penaklukan ini telah berjalan lama!

Ia bermula apabila bapa Sultan Muhammad Al Fatih, Sultan Murad memilih guru-guru yang terpilih untuk mendidik anak raja ini, yang waktu itu, se orang anak yang nakal.

Sejak berumur sembilan tahun, Sultan Muhammad telah mengalami pendidikan disiplin yang ketat. Rasa bebas dan nakal sebagai anak raja yang masih kecil mula berakhir apabila bapa baginda memberikan kebebasan kepada guru-guru beliau untuk membentuk dan mendidik Muhammad.

Rotan turut digunakan oleh gurunya untuk mendisiplinkan anak ini. Dalam satu kejadian, Muhammad telah sengaja dirotan dengan teruknya tanpa sebarang kesalahan yang dilakukan oleh beliau.

Tujuan guru beliau berbuat demikian ialah untuk membentuk perasaan belas kasihan dan sikap adil dan saksama dalam jiwa bakal Sultan ini. Supaya nanti baginda dapat mengambil keputusan berpaksikan keadilan dan memahami perasaan orang-orang yang tidak diperlakukan dengan adil!

Sultan Muhammad dibimbing untuk menghafal al-Qur'an. Dilatih untuk sembahyang malam. Dibentuk menjadi wara' dan zuhud. Diasuh mencintai ilmu dan ulama'. Mempunyai budi pekerti yang baik dan perasaan yang halus. Keunggulan pendidikan keruhanian Sultan Muhammad ternyata apabila baginda akan dilantik menggantikan bapanya secara rasmi sebagai pemerintah Kesultanan Uthmaniah, beliau menangis teresak-esak.

Gurunya lah yang telah mengarahkan beliau menerima tanggungjawab itu atas hujah bahawa seorang berkaliber seperti beliau wajib memikul amanah ummah dan itu jihad dan ibadah yang lebih besar.

Pendidikan Sultan Muhammad di istana baginda hampir komprehensif. Sebagai bakal raja dalam persekitaran Eropah dan pusat perdagangan dan diplomatik, baginda dapat berbahasa lebih dari lima bahasa.

Sudah tentu baginda fasih dalam bahasa Arab.

Baginda juga diajar matapelajaran sejarah, geografi dan astronomi. Pakar ketenteraan juga diundang untuk memberikan pendedahan ketenteraan kepada beliau.

Lama sebelum program pembebasan Konstantinapole dimulakan, Muhammad al-Fateh telah berbincang dengan pakar sejarah dan ketenteraan mengenai sebab-sebab kegagalan ekpedisi penawanan Konstantinapole sebelum ini.

Apa rahsia kekuatan pertahanan kota itu dianalisis. Bagaimanakah caranya untuk mengatasi halangan-halangan itu juga dibincangkan.

Dari perbincangan itu, antara lain mereka mengenal pasti hal berikut;

a. Dinding tembok itu terlalu tebal dan pada waktu itu belum ada teknologi yang boleh meruntuhkannya. Sultan Muhammad telah mengarahkan dicari satu teknologi yang boleh meruntuhkan tembok itu.

Tentera baginda akhirnya berjaya mencipta meriam yang paling canggih dengan bantuan seorang pakar senjata bangsa Hungary yang telah diculik dari kurungan dalam penjara Konstantinapole dengan mengorek lubang bawah tanah yang dalam dan panjang!.

Berat setiap meriam ciptaan baru ini ialah 700 pauns! Ia perlu ditarik oleh 100 ekor kuda dan seratus orang tentera. Bila diletupkan, bunyinya boleh didengar sejauh 13 batu! Setiap tembakannya akan menyebabkan tembok yang kuat berlubang seluas enam kaki. Nah! Benteng besar itu sekarang telah menemui ruasnya.

b. Rantai besi yang kuat yang dirintangi menghalang laluan kapal. Ia menghalang bantuan dan pergerakan melalui laut.

Sultan Muhammad telah mencipta satu plan luar biasa mengatasi halangan ini. Ia adalah antara rekod sejarah yang menakjubkan dari segi kreativiti dan kekuatan keinginan seorang pemimpin. Baginda mengarahkan pembinaan kapal di daratan. Dibuat pada sebelah malam supaya tidak disedari oleh musuh.

Mesti disiapkan dalam masa yang singkat. Kapal ini diluncurkan dari daratan sejauh 5km ke lautan dengan meletakkannya tergelunsur di atas batang-batang kayu yang telah diatur dan telah diminyakkan untuk melicinkan perjalanan kapal-kapal itu.

Pada masa yang telah ditetapkan, kapal-kapal ini dilancarkan dari daratan dan muncul di depan Kota Konstantinapole sebelah lautan dengan melepasi rantai besi yang telah terpasang! Ia memeranjatkan tentera musuh. 400 kapal musuh terbakar dan serangan dari lautan berjalan serentak dengan pengepungan sebelah daratan.

c. Lazimnya bila tentera sampai di pantai menghadap Kota ini, mereka terdedah kepada serangan musuh kerana kawasan yang terbuka dan jika sekiranya satu benteng pertahanan mengelakkan serangan hendak dibina, ia memakan masa selama setahun.

Sultan Muhammad telah mengarahkan benteng pertahanan menghadap tembok kota Konstantinapole itu dibina dalam masa tiga bulan dengan menggunakan segala teknik pembinaan semasa yang canggih.

Benteng Rumeli Hissari dibina di tebing sebelah Eropah, lebih kurang 5 batu dari Kota Konstantinople di mana Selat Bosphorus adalah yang paling sempit. Ia dibina bertentangan dengan Benteng Anadolu Hisar di tebing sebelah Asia yang telah dibina oleh Sultan Bayazid Yildirim dahulu.

Ia memang berjaya disiapkan seperti direncanakan.

Dari mana kekuatan keinginan seorang pemimpin ini diperolehi oleh Sultan Muhammad?

Gurunya bukan sekadar menyuntikkan kekuatan ruhani kepada bakal Sultan in, tetapi juga telah menyuntik sikap terbuka terhadap teknik dan teknologi baru yang diperlukan untuk misi mereka. Mereka juga menyuntik sikap berminda strategik dan kreatif.

Sultan Muhammad dapat menganalisis dengan tepat permasaalahan dan mencari jalan penyelesaian terhadap setiap permasalahan itu secara praktikal sebelum melancarkan misinya.

Tetapi yang paling penting, sejak kecil lagi guru-guru baginda telah membentuk minda baginda untuk merasakan dirinya lah yang disebutkan oleh Rasulullah s.a.w sebagai raja terbaik yang memimpin tentera terbaik yang akan dapat membebaskan Konstantinbapole.

Sasaran, visi dan misi yang jelas, yang disuntikkan ke dalam minda baginda ternyata berkesan. Dari kecil, Sultan Muhammad mengimpikan bagindalah pembebas itu!

Baginda bergerak selari dengan impian ini. Akhirnya, ia adalah sebuah kenyataan.

Dari sudut kepimpinan, bapa baginda seorang yang berpandangan jauh. Sejak umur 14 tahun, Muhammad telah diminta menguruskan empayar dengan alasan, bapanya ingin menumpukan kepada ibadah.

Namun, dalam dua keadaan kritikal, bapa baginda pulang semula untuk memimpin Kerajaan Uthmaniah. Selepas ancaman kritikal itu diatasi, Muhammad diberikan peluang untuk menguruskan semula empayar yang sedang berkembang itu.

Melalui pendedahan berbentuk bimbingan ini, Muhammad terlatih menjadi pemimpin yang berkualiti.

Ditambah, sepanjang hayat baginda, guru-guru baginda yang menjadi rujukan keruhanian dan kebijaksanaan, sentiasa bersama baginda. Hatta, ketika pengepungan kota itu berlangsung, gurunya mengimamkan solat hajat semua tentera Sultan Muhammad.

Melihat 150,000 tentera Islam berbaris rapi untuk bersolat di luar kota itu, cukup untuk menakutkan musuh yang sedang berkawal dalam kota!

Pada hari pembukaan Kota Kontantinapole yang bersejarah itu, Sultan Muhammad bersujud syukur.

Sepanjang kempen, baginda tidak putus-putus mengarahkan tenteranya bertakbir dan melaungkan slogan-slogan bersemangat, termasuk motivasi berasaskan hadis Nabi bahawa Konstantinapole akan dibebaskan oleh tentera yang terbaik dan merekalah tentera terbaik yang dijanjikan oleh Nabi itu.

Pada kali pertama solat Jumaat hendak didirikan di dalam Kota Konstantinapole yang baru sahaja dibebaskan, timbul pertanyaan siapa yang layak menjadi imam solat Jumaat yang pertama itu.

Baginda memerintahkan kesemua tenteranya termasuk dirinya berdiri dan diikuti pertanyaan: "Siapa di antara kita sejak baligh hingga sekarang pernah meninggalkan solat fardhu walau sekali sila duduk!".

Tiada seorang pun yang duduk, kerana tidak seorang pun di antara mereka pernah meninggalkan solat fardhu.

Pertanyaan seterusnya, "Siapa di antara kita yang sejak baligh hingga kini pernah meninggalkan solat sunat rawatib sila duduk!".

Sebahagian daripada tenteranya duduk. Kemudian Baginda bertitah, "Siapa di antara kamu sejak baligh hingga ke saat ini pernah meninggalkan solat tahajjud walaupun satu malam, sila duduk!".

Kali ini semuanya duduk, kecuali baginda sendiri sahaja yang tetap berdiri! Subhaanallah!

Baginda tidak pernah meninggalkan solat fardhu, Solat Sunat Rawatib dan Solat Tahajud sejak baligh. Tepatlah janji Rasulullah s.a.w dan kota ini kemudian bertukar nama kepada Istanbul.

Sekarang, marilah kita mengenali secara ringkas guru-guru yang berjasa besar membentuk Sultan Muhammad.

Pertama, Ahmad 'ibn Ismail Al-Kori:

Guru istimewa ini menunjukkan role model kepada Sultan Muhammad. Seorang yang wara', tidak menyembah Sultan sama seperti orang lain memberikan tunduk hormat, memanggil nama Sultan dan kerabat mereka dengan nama mereka masing-masing tanpa sebarang panggilan gelaran, Bersalaman dengan mereka tanpa mencium tangan mereka. Sepanjang Ramadhan, Sultan Muhammad menghadhiri kelas mentafsir ayat-ayat Al Qur'an yang diadakan di istana baginda selepas solat zuhur, dengan guru-guru yang bersilih ganti.

Ahmad ibn Ismail lah yang mengajarkan Al Qur'an, hukum-hukum agama dan kepatuhan padanya. Ia juga membentuk rasa takwa dalam jiwa Sultan Muhammad dengan berbagai cara, termasuk nasihat-nasihat yang berkaitan dengan tugas pemerintah.

Kedua ialah Sheikh Muhammad bin Hamzah al-Rrouhy, lebih dikenali sebagai Ba'q Shamsuddin. Beliau meninggalkan kesan yang sangat mendalam terhadap keperibadian Sultan Muhammad.

Beliau telah menginspirasikan Sultan MUhammad meningkatn aktiviti dakwah dan keislaman di bawah Empayar Othmaniah sebagai satu cara memperkuatkan empayar tersebut.

Beliaulah yang paling giat meyakinkan Sultan Muhammad bahawa beliau adalah raja terpilih seperti yang dimaksudkan oleh Rasulullah s.a.w dalam sabdanya itu.

Selain mengajarkan teras-teras ilmu Islam, Shamsuddin juga bertanggungjawab mengajar sains, matematik, sejarah, strategi perang, astronomi dan lain-lain.

Beliaulah yang telah merotan Muhammad di masa kecil tanpa sebab. Beliaulah yang mententeramkan Sultan Muhammad yang menangis kerana enggan menjadi raja. Beliaulah yang telah ditanya oleh Sultan Muhammad samada beliau boleh bersara selepas lama memerintah kerana ingin menumpukan kepada ibadah tetapi dijawab, ibadah sebagai Sultan yang adil adalah lebih berharga lagi.

Shamsuddin meletakkan insipirasi dalam dada Sultan, memberikan baginda tujuan dan misi pemerentahan yang jelas dan bersama baginda sehingga cita-cita itu tercapai.

Kerana itu lah, beliau dikenali sebagai Penakluk Ruhani Konstantinapole. Guru yang merancang lahirnya seorang pemimpin dan terukirnya sebuah sejarah. Insan pada sisi lain Sultan Muhammad al-Fatih.

Wednesday, May 27, 2009

Jasa Baik Tetap Dikenang



Pada 23 Mei 2009, ramai pelajar yang berjaya menerima tawaran untuk melanjutkan pengajian di peringkat asasi UiTM telah mendaftarkan diri. Suasana yang gembira dan ceria jelas kelihatan di wajah semua pelajar yang berjaya menjejakkan kaki ke menara gading ini. Masing-masing membawa beg pakaian, baldi dan bantal menuju ke bilik yang telah ditetapkan. Ibu-bapa pula berjalan mengiringi anak dengan lagak yang cukup berhati-hati dibimbangi tersalah langkah jesteru kegembiraan yang tidak dapat diluahkan lagi. Inilah antara nikmat dan rezki yang patut disyukuri oleh setiap yang berjaya.

Di setiap penjuru laluan yang ditempuhi oleh pelajar dan waris di dalam urusan pendaftaran ini diletakkan dengan petugas-petugas minggu orientasi yang sedia membantu dan memberikan panduan yang sebaiknya supaya proses pendaftaran ini berjalan lancar. Tanpa mereka sudah pasti kesulitan yang berlaku boleh menjejaskan selurus proses pendaftaran ini. Syabas kepada para petugas minggu orientasi ini. Semoga jasa baik dan pertolongan yang diberikan dibalas oleh Allah Yang Maha Esa.

Monday, May 18, 2009

KISAH PENJUAL TEMPE

Ada sebuah kampung di pedalaman Tanah Jawa. Disitu ada seorang perempuan tua yang sangat kuat beribadat. Pekerjaannya ialah membuat tempe dan menjualnya di pasar setiap hari.. Ia merupakan satu-satunya sumber pendapatannya untuk menyara hidup. Tempe yang dijualnya merupakan tempe yang dibuatnya sendiri.

Pada suatu pagi, seperti biasa, ketika beliau sedang bersiap-siap untuk pergi menjual tempenya, tib a tiba dia tersedar yang tempenya yang diperbuat daripada kacang soya hari itu masih belum menjadi, separuh jadi.Kebiasaannya tempe beliau telah masak sebelum bertolak. Diperiksanya beberapa bungkusan yang lain. Ternyatalah kesemuanya belum masak lagi.

Perempuan tua itu berasa amat sedih sebab tempe yang masih belum menjadi pastinya tidak akan laku dan tiadalah rezekinya pada hari itu. Dalam suasana hatinya yang sedih, dia yang memang kuat beribadah teringat akan firman Tuhan yang menyatakan bahawa Tuhan dapat melakukan perkara-perkara ajaib,bahawa bagi Tuhan tiada yang mustahil. Lalu diapun mengangkat kedua tangannya sambil berdoa , "Tuhan , aku memohon kepadaMu agar kacang soya ini menjadi tempe . Amin"

Begitulah doa ringkas yang dipanjatkan dengan sepenuh hatinya.. Dia sangat yakin bahawa Tuhan pasti mengabulkan doanya. Dengan tenang perempuan tua itu menekan-nekan bungkusan bakal tempe dengan hujung jarinya dan dia pun membuka sikit bungkusan itu untuk menyaksikan keajaiban kacang soya itu menjadi tempe . Namun, dia termenung seketika sebab kacang tu masih tetap kacang soya.

Namun dia tidak putus asa, sebaliknya berfikir mungkin doanya kurang jelas didengar oleh Tuhan. Maka dia pun mengangkat kedua tangannya semula dan berdoa lagi. "Tuhan, aku tahu bahawa tiada yang mustahil bagiMu. Bantu lah aku supaya hari ini aku dapat menjual tempe kerana inilah mata pencarianku. Aku mohon agar jadikanlah kacang soyaku ini kepada tempe , Amin".

Dengan penuh harapan dan debaran dia pun sekali lagi membuka sedikit bungkusan tu. Apakah yang terjadi? Dia termangu dan hairan apabila tempenya masih tetap begitu!! Semen tara itu hari pun semakin meninggi sudah tentu pasar sudah mula didatangi ramai orang. Dia tetap tidak kecewa atas doanya yang belum terkabul. Walaubagaimanapun kerana keyakinannya yg sangat tinggi dia bercadang untuk tetap pergi ke pasar membawa barang jualannya itu. Perempuan tua itu pun berserah pada Tuhan dan meneruskan pemergian ke pasar sambil berdoa dengan harapan apabila sampai di pasar kesemua tempenya akan masak.

Dia berfikir mungkin keajaiban Tuhan akan terjadi semasa perjalanannya ke pasar. Sebelum keluar dari rumah, dia sempat mengangkat kedua tangannya untuk berdoa. "Tuhan, a ku percaya, Engkau akan mengabulkan doaku. Sementara aku berjalan menuju ke pasar, Engkau kurniakanlah keajaiban ini buatku, jadikanlah tempe ini. Amin". Lalu dia pun berangkat. Di sepanjang perjalanan dia tetap tidak lupa membaca doa di dalam hatiny a. Sesampai sahaja di pasar, segera dia meletakkan barang-barangnya. Hatinya betul-betul yakin yang tempenya sekarang mesti sudah menjadi. Dengan hati yg berdebar-debar dia pun membuka bakulnya dan menekan-nekan dengan jarinya setiap bungkusan tempe yang ada.

Perlahan-lahan dia membuka sedikit daun pembungkusnya dan melihat isinya. Apa yang terjadi? Tempenya masih belum menjadi!! Dia pun kaget seketika lalu menarik nafas dalam-dalam. Dalam hatinya sudah mula merasa sedikit kecewa dan putus asa kepada Tuhan kerana doanya tidak dikabulkan. Dia berasakan Tuhan tidak adil. Tuhan tidak kasihan padanya, inilah satu-satunya punca rezekinya, hasil jualan tempe . Dia akhirnya cuma duduk sahaja tanpa mempamerkan barang jualannya sebab dia berasakan bahawa tiada orang yang akan membeli tempe yang baru separuh menjadi. Sementara itu hari pun semakin petang dan pasar sudah mulai sepi, para pembeli sudah mula kurang.

Dia meninjau-ninjau kawan-kawan sesama penjual tempe , tempe mereka sudah hampir habis. Dia tertunduk lesu seperti tidak sanggup menghadapi kenyataan bahawa hari ini tiada hasil jualan yang boleh dibawa pulang. Namun jauh d i sudut hatinya masih menaruh harapan terakhir kepada Tuhan, pasti Tuhan akan menolongnya. Walaupun dia tahu bahawa pada hari itu dia tidak akan dapat pendapatan langsung, namun dia tetap berdoa buat kali terakhir, "Tuhan,berikanlah penyelesaian terbaik terhadap tempeku yang belum menjadi ini."

Tiba-tiba dia dikejutkan dengan teguran seorang wanita.

"Maaf ya, saya ingin bertanya, Makcik ada tak menjual tempe yang belum menjadi? Dari tadi saya sudah pusing keliling pasar ini untuk mencarinya tapi masih belum berjumpa lagi." Dia termenung dan terpinga-pinga seketika. Hatinya terkejut sebab sejak berpuluh tahun menjual tempe , tidak pernah
seorang pun pelanggannya mencari tempe yang belum menjadi. Sebelum dia menjawab sapaan wanita di depannya itu, cepat-cepat dia berdoa di dalam hatinya"Tuhan, saat ini aku tidak mahu tempe ini menjadi lagi. Biarlah tempe ini seperti semula, Amin".

Sebelum dia menjawab pertanyaan wanita itu, dia membuka sedikit daun penutup tempenya. Alangkah seronoknya dia, ternyata memang benar tempenya masih belum menjadi! Dia pun ra sa gembira dalam hatinya dan bersyukur pada Tuhan. Wanita itu pun memborong habis kesemua tempenya yang belum menjadi itu. Sebelum wanita tu pergi, dia sempat bertanya wanita itu, "Mengapa hendak membeli tempe yang belum jadi?" Wanita itu menerangkan bahawa anakn ya yang kini berada di England teringin makan tempe dari desa. Memandangkan tempe itu akan dikirimkan ke England ,si ibu tadi kenalah membeli tempe yang belum jadi lagi supaya apabila sampai di England nanti akan menjadi tempe yang sempurna. Kalau dikirimkan tempe yang sudah menj adi, nanti di sana tempe itu sudah tidak elok lagi dan rasanya pun kurang sedap.

Perempuan tua itu pun kehairanan dan berfikir rupa-rupanya doanya sudah pun dimakbulkan oleh Tuhan.

Moral:

Pertama: Kita sering memaksakan kehendak kita kepada Tuhan sewaktu berdoa, padahal sebenarnya Tuhan lebih mengetahui apa yang kita perlukan dan apa yang terbaik untuk diri kita.

Kedua:. Sentiasalah berdoa dalam menjalani kehidupan seharian kita sebagai hambaNya yang lemah. Jangan sekali-kali berputus asa terhadap apa yang dipinta. Percayalah bahawa Tuhan akan mengabulkan doa kit a sesuai dengan rancanganNya yang mungkin di luar jangkaan kita.