Monday, July 13, 2009

Rahsia Kebahagiaan

Setiap orang mengimpikan kehidupan yang bahagia. Kebahagian suatu perkara yang subjektif. Ada yang mengukur kebahagian itu dengan wang yang banyak, jawatan yang tinggi, kesihatan yang baik dan pelbagai macam lagi. Sungguhpun begitu, matlamat kebahagian yang dicari akhirnya adalah satu ketenangan yang tiada harganya. Realitinya, kita dapat melihat banyak contoh samada dekat dengan kita atau berjauhan, orang yang mempunyai segala-galanya belum tentu mengecapi kehidupan yang bahagia.

Tidak terkecuali jugak, ramai yang cukup teliti menjaga amalan ibadahnya namun masih hidup di dalam kegelisahan. Ketenangan yang diimpikan dirasakan terlalu jauh untuk dikecapi. Semakin banyak melakukan amal ibadah dirasakan semakin gelisah, lantaran semakin banyak ujian daripada Ilahi.

Oleh itu, apa rahsianya? Ramai ahli tasawwuf telah menghalusi dan berbincang tentang perkara ini. Rahsianya; Ingat 2 perkara dan lupakan 2 perkara.

2 perkara yang perlu diingati ialah;
· Kenikmatan yang diberikan oleh Allah kepada kita dan dosa kita kepada Allah
· Kebaikan orang lain kepada kita dan keburukan kita kepada orang lain

2 perkara yang perlu dilupakan ialah;
· Ujian dan musibah yang diturunkan kepada kita dan amal ibadah kita kepadaNya
· Kebaikan kita kepada orang lain dan keburukan orang lain kepada kita

Pokok pangkalnya adalah hati. Hati yang begitu mulia untuk memaafkan orang lain dan keinginan yang tinggi untuk memperbaiki diri. Sebab itulah hati itu diibaratkan seperti raja kepada seluruh anggota badan. Jika baik hati tersebut maka baiklah seluruh dirinya. Hati perlu dididik menjadi baik agar dapat menjadi raja yang baik kepada anggota badan setiap orang. Oleh yang demikian, tidak hairanlah pakar-pakar dalam bidang pendidikan mengungkapkan; ‘Hati kepada pendidikan ialah pendidikan kepada hati’.

0 comments: