Tuesday, July 28, 2009

PERJALANAN BERTEMU NABI MUSA

Post ini adalah sambungan daripada post bertajuk Rahsia Kebahagiaan.

Satu kisah yang boleh diambil pengajaran yang berlaku di zaman nabi Musa a.s. Seorang pemuda yang merupakan pengikut nabi Musa bermusafir menuju ke tempat Nabi Musa untuk menuntut ilmu. Di dalam perjalanannya, pemuda tersebut terserempak dengan seorang perompak yang baru berjinak-jinak melakukan kerja jahat itu.. Perompak itu merampas semua harta yang dimiliki pemuda tersebut. Pemuda tersebut redho dengan ujian Allah ini. Sebelum pemuda tersebut meneruskan perjalanan, perompak itu bertanyakan halatuju perjalanan pemuda tersebut. Pemuda tersebut menjawab, beliau ingin berjumpa dan menuntut ilmu dengan Nabi Musa a.s. Perompak itu berpesan kepada pemuda tersebut supaya bertanyakan kepada Nabi Musa, apakah dirinya layak masuk syurga.

Pemuda tersebut meneruskan perjalanan. Sampai di pertengahan jalan, beliau terserempak dengan seorang wanita tua yang beribadat di dalam gua. Wanita itu memberitahu, beliau beribadat di dalam gua ini kerana suami dan anak-anaknya asyik menggganggu kerja ibadahnya di rumah. Wanita itu bertanya pula ke mana destinasi perjalanan pemuda tersebut. Lalu, dia menjawab ingin bertemu dan menuntut ilmu dengan Nabi Musa. Wanita tua itu berpesan agar pemuda tersebut bertanyakan apakah dirinya layak untuk masuk syurga.

Pemuda tersebut bertemu pula dengan sekumpulan perompak yang sedang merancang melakukan jenayah. Sekumpulan perompak ini sangat tidak berperikemanusian dan sudah terkenal dengan rekod jenayah yang banyak sebelum ini. Mereka yang menyedari kehadiran pemuda tersebut terus menangkap dan ingin merampas apa yang dimiliki olehnya. Pemuda tersebut menyatakan, semua barang yang dimilikinya telah dirompak oleh seorang perompak semasa di awal perjalanannya. Di kesempatan itu, pemuda tersebut menasihatkan sekumpulan perompak itu supaya meninggalkan kerja-kerja merompak itu. Diringkaskan cerita, mereka menyedari kesilapan dan terus bertaubat dan berjanji tidak akan mengulangi dosa tersebut. Akhirnya pemuda tersebut dilepaskan dan diucapkan terima kasih kerana memberi kesedaran kepada mereka terhadap kesalahan dan dosa mereka selama ini. Perompak-perompak itu bertanya kepada pemuda tersebut kemana destinasinya. Jawabnya, ingin berjumpa dan berguru dengan Nabi Musa. Perompak-perompak itu berpesan kepanya agar bertanya kepada Nabi Musa adakah mereka layak memasuki syurga.

Akhirnya pemuda tersebut berjaya sampai dan bertemu dengan Nabi Allah Musa. Dia bertanya kepada Nabi Musa soalan yang dipesan oleh mereka di sepanjang perjalanan. Nabi Musa menjawab, perompak yang pertama tidak layak masuk syurga kerana lupa keburukan yang dilakukannya. Wanita tua yang beribadah di dalam gua itu pula juga tidak layak masuk syurga kerana mengingati keburukan orang lain kepadanya, manakala sekumpulan perompak tadi pula layak untuk memasuki syurga kerana mereka ingat akan kejahatan yang telah dilakukan dan juga mengingati kebaikan pemuda tersebut menasihati mereka.

Alfateh.
28 Julai 2009

0 comments: