Tuesday, July 28, 2009

PERJALANAN BERTEMU NABI MUSA

Post ini adalah sambungan daripada post bertajuk Rahsia Kebahagiaan.

Satu kisah yang boleh diambil pengajaran yang berlaku di zaman nabi Musa a.s. Seorang pemuda yang merupakan pengikut nabi Musa bermusafir menuju ke tempat Nabi Musa untuk menuntut ilmu. Di dalam perjalanannya, pemuda tersebut terserempak dengan seorang perompak yang baru berjinak-jinak melakukan kerja jahat itu.. Perompak itu merampas semua harta yang dimiliki pemuda tersebut. Pemuda tersebut redho dengan ujian Allah ini. Sebelum pemuda tersebut meneruskan perjalanan, perompak itu bertanyakan halatuju perjalanan pemuda tersebut. Pemuda tersebut menjawab, beliau ingin berjumpa dan menuntut ilmu dengan Nabi Musa a.s. Perompak itu berpesan kepada pemuda tersebut supaya bertanyakan kepada Nabi Musa, apakah dirinya layak masuk syurga.

Pemuda tersebut meneruskan perjalanan. Sampai di pertengahan jalan, beliau terserempak dengan seorang wanita tua yang beribadat di dalam gua. Wanita itu memberitahu, beliau beribadat di dalam gua ini kerana suami dan anak-anaknya asyik menggganggu kerja ibadahnya di rumah. Wanita itu bertanya pula ke mana destinasi perjalanan pemuda tersebut. Lalu, dia menjawab ingin bertemu dan menuntut ilmu dengan Nabi Musa. Wanita tua itu berpesan agar pemuda tersebut bertanyakan apakah dirinya layak untuk masuk syurga.

Pemuda tersebut bertemu pula dengan sekumpulan perompak yang sedang merancang melakukan jenayah. Sekumpulan perompak ini sangat tidak berperikemanusian dan sudah terkenal dengan rekod jenayah yang banyak sebelum ini. Mereka yang menyedari kehadiran pemuda tersebut terus menangkap dan ingin merampas apa yang dimiliki olehnya. Pemuda tersebut menyatakan, semua barang yang dimilikinya telah dirompak oleh seorang perompak semasa di awal perjalanannya. Di kesempatan itu, pemuda tersebut menasihatkan sekumpulan perompak itu supaya meninggalkan kerja-kerja merompak itu. Diringkaskan cerita, mereka menyedari kesilapan dan terus bertaubat dan berjanji tidak akan mengulangi dosa tersebut. Akhirnya pemuda tersebut dilepaskan dan diucapkan terima kasih kerana memberi kesedaran kepada mereka terhadap kesalahan dan dosa mereka selama ini. Perompak-perompak itu bertanya kepada pemuda tersebut kemana destinasinya. Jawabnya, ingin berjumpa dan berguru dengan Nabi Musa. Perompak-perompak itu berpesan kepanya agar bertanya kepada Nabi Musa adakah mereka layak memasuki syurga.

Akhirnya pemuda tersebut berjaya sampai dan bertemu dengan Nabi Allah Musa. Dia bertanya kepada Nabi Musa soalan yang dipesan oleh mereka di sepanjang perjalanan. Nabi Musa menjawab, perompak yang pertama tidak layak masuk syurga kerana lupa keburukan yang dilakukannya. Wanita tua yang beribadah di dalam gua itu pula juga tidak layak masuk syurga kerana mengingati keburukan orang lain kepadanya, manakala sekumpulan perompak tadi pula layak untuk memasuki syurga kerana mereka ingat akan kejahatan yang telah dilakukan dan juga mengingati kebaikan pemuda tersebut menasihati mereka.

Alfateh.
28 Julai 2009

Monday, July 13, 2009

Musim Buah - Di Bandar

www.durianss2.com
Kalau bukak laman web tu je nak buat apa. Rasa sendiri baru betui... Kat sini, sekali bayar makanlah sebanyak manapun.

Kami sampai dalam pukul 1.00 petang, nampaknya lori yang bawak buah durian baru sampai. Kalau kami sampai lewat lagi, mungkin dapat rasa buah yang fresh punya. Tak apalah, sebab waktu nipun dah sesuai sangat untuk makan pasal lepas ni kena sambung kerja.

Buah yang dipilih memang sedap. Jenis D2, D28, Kunyit, 101 dan pelbagai lagi. Tapi, bagi aku D28 dah kira puas hati.

Inilah pemenang tempat kedua dalam acara ni (yang paling makan banyak). Cabaran yang diberikan kepada pemenang/johan memang hebat memandangkan orang yang dapat tempat ke-2 nipun asyik membedal je...

Inikah johannya???... bukanlah.
In tempat saguhati je, pasal dia ni baru balik dari kampung. Dah puas makan kat dusun sendiri. So, kali ni kalau istilah ekonominya 'marginal benefit'nya dan berkurang.

Inilah johannya... Tahniah, memang berbaloi. Kekalkan kejuaraan ini untuk kali seterusnya. Nanti ada masa kita lawan lagi. Selepas menikmati buah durian ni, aku dapat belajar satu ilmu baru iaitu minum air garam. Dikatakan air garam ni dapat membantu menyejukkan badan.
Tak pasti keberkesanannya pasal lepas tu naik kereta pasang air-cond.

Musim Buah - Di Kampung

Malaysia dianugerahkan Allah dengan tanah yang subur. Bagi yang hidup di kampung, mememiliki dusun satu kemestian, tetapi mengusahakannya tidak semua yang sanggup. Di kalangan orang kampung yang tahu erti sesuatu pencapaian atau hasil memerlukan usaha ialah ayah aku. Jadi, aku berpeluang menikmati hasil keringat ayah aku yang hidupnya suka berbakti kepada tanah.

Setiap tahun musim buah akan menjelang. Tahun ini, aku pulang ke kampung menikmati pelbagai hasil dusun seperti durian, manggis dan rambutan. Malangnya, dokong dan cempedak belum sampai masanya. Aku pasti akan pulang sekali lagi untuk tidak terlepas peluang ini.

Inilah durian yang 'fresh' baru luruh pagi tadi. Apa lagi, kita bawak balik makan dengan pulut baru best.




Buah ni banyak khasiat. Orang yang tahu khasiatnya menggelarnya raja buah.



Inilah buah dokong yang belum masak. Rendah je ni.. Kalau dah masak memang dah kena pulas ni.

Pondok ni bolehla nak berehat sekejap. Rehat lama-lama buat malu je... Ayah aku dah lebih 50 tahun umurpun tak tau erti penat.


Eleh... yang nipun sibuk nak posing. Makan cukuplah...


Kali ni, ingat kawan-kawan at opis, terpakasa ayat2kan ayah aku nak bawak rambutan balik KL. Apa lagi dia keluarkan gergaji dia, terus tebang pokok rambutan. Angkatlah seberapa banyak nak ambik. Alhamdulillah... sampai jugak ke mulut kawan-kawan yang nak rasa rambutan dari Kedah.

Rahsia Kebahagiaan

Setiap orang mengimpikan kehidupan yang bahagia. Kebahagian suatu perkara yang subjektif. Ada yang mengukur kebahagian itu dengan wang yang banyak, jawatan yang tinggi, kesihatan yang baik dan pelbagai macam lagi. Sungguhpun begitu, matlamat kebahagian yang dicari akhirnya adalah satu ketenangan yang tiada harganya. Realitinya, kita dapat melihat banyak contoh samada dekat dengan kita atau berjauhan, orang yang mempunyai segala-galanya belum tentu mengecapi kehidupan yang bahagia.

Tidak terkecuali jugak, ramai yang cukup teliti menjaga amalan ibadahnya namun masih hidup di dalam kegelisahan. Ketenangan yang diimpikan dirasakan terlalu jauh untuk dikecapi. Semakin banyak melakukan amal ibadah dirasakan semakin gelisah, lantaran semakin banyak ujian daripada Ilahi.

Oleh itu, apa rahsianya? Ramai ahli tasawwuf telah menghalusi dan berbincang tentang perkara ini. Rahsianya; Ingat 2 perkara dan lupakan 2 perkara.

2 perkara yang perlu diingati ialah;
· Kenikmatan yang diberikan oleh Allah kepada kita dan dosa kita kepada Allah
· Kebaikan orang lain kepada kita dan keburukan kita kepada orang lain

2 perkara yang perlu dilupakan ialah;
· Ujian dan musibah yang diturunkan kepada kita dan amal ibadah kita kepadaNya
· Kebaikan kita kepada orang lain dan keburukan orang lain kepada kita

Pokok pangkalnya adalah hati. Hati yang begitu mulia untuk memaafkan orang lain dan keinginan yang tinggi untuk memperbaiki diri. Sebab itulah hati itu diibaratkan seperti raja kepada seluruh anggota badan. Jika baik hati tersebut maka baiklah seluruh dirinya. Hati perlu dididik menjadi baik agar dapat menjadi raja yang baik kepada anggota badan setiap orang. Oleh yang demikian, tidak hairanlah pakar-pakar dalam bidang pendidikan mengungkapkan; ‘Hati kepada pendidikan ialah pendidikan kepada hati’.