Monday, June 29, 2009

Masjid 500 Meter di Hadapan

Dalam setiap perjalanan di tanahair ini seringakali kita melihat begitu banyak masjid. Samada dalam perjalanan dekat berulang-alik ke tempat kerja ataupun perjalanan jauh semasa pulang ke kampung atau bercuti ZOOM Malaysia. Kalau tidak kelihatan masjid yang lokasinya tidak di tepi jalan utama, pasti ada papan tanda yang menunjukkan arah ke masjid tersebut. Begitulah banyaknya bilangan masjid di tanahair kita ini.

Jika diperhatikan pengunjungnya pula selain daripada datang untuk menunaikan solat, ada 4 tujuan lain yang selalu kita perhatikan. Tujuan ini bukanlah satu tujuan yang dirancang rapi, tapi berlaku secara kebetulan ataupun dalam keadaan terpaksa.

1. Untuk membuang air. Kalau tak jumpa stesyen minyak yang ada kemudahan tandas percuma, inilah tempatnya. Tanpa perlu bayaran dan keadaannya cukup selesa.

2. Untuk tidur. Setalah mencari tempat penginapan yang sesuai tidak ditemui ataupun ingin menjimatkan kos, masjid akan dijadikan sasaran. Kalau nasib baik lepas solat subuh keesokannya ada sarapan pagi disediakan.

3. Untuk upacara akad nikah. Majlis ini dihadiri oleh ramai sanak-saudara. Ada yang tidak menutup aurat, malahan ada yang jahil sehingga masuk ke masjid dalam keadaan berhadas besar. Selepas selesai upacara akah nikah, bila disuruh sembahyang sunat baru tahu pengantin ber’cuti’.

4. Untuk disembahyangkan jenazahnya. Inilah tujuan yang paling hebat kerana kedatangannya bukan sahaja disambut dengan pelbagai zikir dan doa, malahan kedatangnya diletakkan di hadapan imam.

Apa yang dibimbangkan sekarang, pengunjung tetap rumah Allah ini kebanyakannya dikalangan warga emas. Di manakah golongan muda yang bakal menjadi pemimpin masyarakat pada masa akan datang ketika solat fardhu berjamaah. Kalau tidakpun setiap waktu, sekurang-kurangnya ketika ada masa terluang setelah pulang kerja.

Kalau diperhatikan lebih jauh, di dalam majlis ilmu selepas solat maghrib kita dapat melihat tuan guru yang mengajar lebih muda daripada ahli jemaah. Tak sempat habis ilmu yang perturunkan kepada anak murid, anak murid dah pergi dahulu menemui Ilahi. Ahli jemaah atau anak murid ini pula nampaknya lebih alim daripada tuan guru. Mana tidaknya, tuan guru datang dengan membawa kitab, tapi anak murid hanya bertangan kosong. Berbeza dengan waktu dahulu, kehebatan guru datang dengan ilmu di dada, mankala anak murid membawa kitab menadah ilmu.

Benarlah keegoaan musuh Allah sambil menabik dada mendakwa, sekiranya setiap masjid tidak dipenuhi dengan orang Islam ketika sembahyang fardhu maka selagi itulah umat Islam tidak akan dapat merampas kembali masjidilAqsa.

0 comments: