Monday, June 29, 2009

Masjid 500 Meter di Hadapan

Dalam setiap perjalanan di tanahair ini seringakali kita melihat begitu banyak masjid. Samada dalam perjalanan dekat berulang-alik ke tempat kerja ataupun perjalanan jauh semasa pulang ke kampung atau bercuti ZOOM Malaysia. Kalau tidak kelihatan masjid yang lokasinya tidak di tepi jalan utama, pasti ada papan tanda yang menunjukkan arah ke masjid tersebut. Begitulah banyaknya bilangan masjid di tanahair kita ini.

Jika diperhatikan pengunjungnya pula selain daripada datang untuk menunaikan solat, ada 4 tujuan lain yang selalu kita perhatikan. Tujuan ini bukanlah satu tujuan yang dirancang rapi, tapi berlaku secara kebetulan ataupun dalam keadaan terpaksa.

1. Untuk membuang air. Kalau tak jumpa stesyen minyak yang ada kemudahan tandas percuma, inilah tempatnya. Tanpa perlu bayaran dan keadaannya cukup selesa.

2. Untuk tidur. Setalah mencari tempat penginapan yang sesuai tidak ditemui ataupun ingin menjimatkan kos, masjid akan dijadikan sasaran. Kalau nasib baik lepas solat subuh keesokannya ada sarapan pagi disediakan.

3. Untuk upacara akad nikah. Majlis ini dihadiri oleh ramai sanak-saudara. Ada yang tidak menutup aurat, malahan ada yang jahil sehingga masuk ke masjid dalam keadaan berhadas besar. Selepas selesai upacara akah nikah, bila disuruh sembahyang sunat baru tahu pengantin ber’cuti’.

4. Untuk disembahyangkan jenazahnya. Inilah tujuan yang paling hebat kerana kedatangannya bukan sahaja disambut dengan pelbagai zikir dan doa, malahan kedatangnya diletakkan di hadapan imam.

Apa yang dibimbangkan sekarang, pengunjung tetap rumah Allah ini kebanyakannya dikalangan warga emas. Di manakah golongan muda yang bakal menjadi pemimpin masyarakat pada masa akan datang ketika solat fardhu berjamaah. Kalau tidakpun setiap waktu, sekurang-kurangnya ketika ada masa terluang setelah pulang kerja.

Kalau diperhatikan lebih jauh, di dalam majlis ilmu selepas solat maghrib kita dapat melihat tuan guru yang mengajar lebih muda daripada ahli jemaah. Tak sempat habis ilmu yang perturunkan kepada anak murid, anak murid dah pergi dahulu menemui Ilahi. Ahli jemaah atau anak murid ini pula nampaknya lebih alim daripada tuan guru. Mana tidaknya, tuan guru datang dengan membawa kitab, tapi anak murid hanya bertangan kosong. Berbeza dengan waktu dahulu, kehebatan guru datang dengan ilmu di dada, mankala anak murid membawa kitab menadah ilmu.

Benarlah keegoaan musuh Allah sambil menabik dada mendakwa, sekiranya setiap masjid tidak dipenuhi dengan orang Islam ketika sembahyang fardhu maka selagi itulah umat Islam tidak akan dapat merampas kembali masjidilAqsa.

Wednesday, June 24, 2009

Keberkatan Hidup

Dua buah kisah ini saya ambil dari e-mail yang dikirim oleh sahabat saya. Semoga ianya menjadi pengajaran dan panduan berguna untuk kita mencari kebahagiaan di dunia dan akhirat.
____________________________________
Kisah-1
Ketika belajar di Universiti Kebangsaan Malaysia , Salleh (bukan nama sebenar) telah bertemu jodoh dengan isterinya Siti Rahmah (bukan nama sebenar). Salleh mengambil jurusan kejuruteraan manakala Siti Rahmah Mengambil bidang perakaunan. Sekarang mereka telah 15 tahun berkahwin Dan Dikurniakan Allah dengan 7 orang anak.

Beberapa bulan yang lepas saya Berkunjung ke rumah Salleh di Kajang. Kebetulan pada pagi Ahad itu selepas Solat Subuh di Masjid Kajang saya bertemu dengan Salleh. Dia terus mengajak Saya ke rumahnya. Dia menyewa rumah teres setingkat tidak jauh dengan Masjid.Saya mengenalinya sejak hampir 10 tahun yang lalu. Pagi itu tidak sedar Kami telah berbual-bual hampir lima jam. Saya ingin berkongsi tentang Keluarga Salleh ini yang pada saya satu contoh keluarga yang mendapat Keberkatan Allah.

1. Salleh bekerja makan gaji Dan pendapatan bersihnya sebulan kurang dariRM3000.

2. Isterinya adalah anak sulung, walaupun berkelulusan ijazah namun menjadi Suri rumah sepenuh masa atas kehendak Salleh. Sebagai penghargaan kerana Isterinya sanggup tidak bekerja, Salleh memberikan RM300 sebulan kepada Ibu-bapa mertuanya setiap bulan.

3. Di samping itu Salleh juga memberi kepada ibunya di kampung RM200 Sebulan. Bapa Salleh telah meninggal dunia.

4. Dia memiliki Toyota Unser dengan ansuran RM500 sebulan.

5. Dia membayar rumah sewa RM400 sebulan.

6. Di rumahnya serba lengkap dengan perabot (TV, Peti Sejuk, Mesin Basuh,Set Sofa) serta teratur Dan kemas.

7. Pelik tetapi benar, bil elektrik di rumahnya kurang dari RM20 sebulanSedangkan jirannya tidak pernah kurang dari RM60. TNB dah buat pemeriksaan Bahawa meter di rumahnya tidak rosak. Begitu juga dengan bil air kurang Dari RM10 sebulan..

8. Empat orang anaknya dihantar ke sekolah agama integrasi.

9. Bayangkan dia boleh hidup dengan Selesa walaupun gajinya kecil jika di Nisbahkan dengan keluarganya yang agak besar.

Sejak berkawan dengannya Ada beberapa perkara yang saya lihat jadi amalan Dia yang patut di contohi;
1. Solat Duha menjadi amalan hariannya walaupun ketika pergi outstation

2. Solat Istikharah menjadi suatu amalan walaupun nak membeli benda yang Kecil seperti nak membeli mesin basuh.

3. Sering membaca Surah Al-Waqiah

4. Tidak terlibat langsung dengan sistem Riba . Dia menggunakan Kredit Kad Bank Islam. Pinjaman kereta pun menggunakan sistem pinjaman Islam.

5. Buat baik kepada Ibu bapa Dan Ibu Bapa mertuanya .

6. Suka menolong orang Dan memberi derma

7. Semua anak-anaknya mempunyai akhlak yang baik dan jarang kena sebarang penyakit.

8. Dia dah empat tahun menggunakan Toyota Unser, sekali pun tidak pernah rosak atau menyusahkannya.

9. Segala masalah yang dihadapi dapat diselesaikan dengan mudah dan cepat.


Kisah-2
Ketika saya bujang dahulu saya sering menziarahi kawan saya, Norizam (bukan Nama sebenar) yang tinggal di Masai Johor. Pada Hari Ahad itu saya sampai Di rumah Norizam selepas waktu Asar. Norizam memperkenalkan Abang dia, Rashid (bukan nama sebenar) yang baru sampai dari Kuala Lumpur . Rashid Berkunjung ke rumah Norizam kerana untuk menghadiri temuduga pada pagi Isnin di Johor Baru.

Kawan saya Norizam ini, dalam beberapa hal dia tidak berpuas hati dengan Abangnya. Kadang kala saya tidak suka mendengar dia merungut tentang Abangnya. Petang itu Norizam merungut lagi iaitu abangnya datang untuk Temuduga kerja sebagai Pengurus Besar (General Manager). Gaji Rashid Sekarang ialah RM10,000 sebulan. Katanya tidak mencukupi. Dia akan mintaGaji sebanyak RM14,000 sebulan untuk tempat baru ini. Saya pun berasa hairan gaji RM10,000 sebulan tidak mencukupi sedangkan Hanya mempunyai dua orang anak sahaja.

Beberapa tahun kemudian baru saya tahu kenapa gaji abangnya RM10,000 tidak mencukupi. Ini Ada kaitan dengan tiada keberkatan hidup.Perkara-perkara yang pada pandangan saya menyebabkan Rashid jadi susah ialah seperti berikut;
1. Banyak sangat terlibat dengan sistem Riba . Pinjaman Kereta, Kad Kredit,Pinjaman Rumah, Akaun Simpanan semuanya Sistem Konvensional (Riba)

2. Menggunakan banyak kad kredit konvensional kemudian bayar pokok sahaja. Bermakna memakan riba yang berterusan.

3. Sering bertukar kereta sebab kereta selalu bermasalah walaupun kereta baru (masalah kena curi dan kemalangan jalan raya)

4. Sering bertengkar dengan isteri.

5. Isteri sering masuk hospital kerana penyakit misteri.

6. Anak perempuan sulungnya yang di tingkatan tiga kena tangkap basah.

7. Suka menengking jika ada orang mintak derma.

8. Soal sembahyang lima waktu dipandang sebelah mata sahaja.

Hidup ini tidak boleh lari daripada proses membuat keputusan. Oleh yang demikian buatlah keputusan untuk memilih jalan yang diberkati dan diredhoiNya....

Alfateh.
24/6/2009.

Sunday, June 7, 2009

KENANGAN KURSUS

Alhamdulillah. Berakhirlah kursus IRBM-JICA Criminal Investigation mulai 2 hingga 5 Jun 2009 di Akademi Percukaian Malaysia. Walaupun jadualnya cukup padat tetapi ilmu yang dicurahkan sangatlah berguna dan sukar diperolehi di tempat lain. JICA adalah agensi yang ditubuhkan di Jepun untuk membantu negara membangun dengan pelbagai bentuk kerjasama. Salah satu diantaranya, JICA dengan kepakaran National Tax Agency, Japan menyumbangkan kepakaran dalam bidang percukaian kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia. Negara matahari terbit itu yang telah melaksanakan Sistem Taksir Sendiri sejak tahun 1947 sudah semestinya layak berkongsi kepakaran kepada LHDNM yang baru sahaja melaksanakan STS ini mulai tahun 2001.

Selain daripada sistem penguatkuasaan undang-undang percukaian yang sangat digeruni oleh rakyat Jepun, sistem pendidikan di negara itu juga telah mendidik kepentingan membayar cukai kepada rakyatnya sejak dari bangku sekolah lagi. Menjadi satu kebanggaan kepada empunya diri sekiranya menunaikan tanggungjawab sebagai rakyat untuk turut sama membantu membangunkan negara.

Walaupun kadar kesedaran dan kepatuhan yang tinggi di kalangan rakyatnya terhadap kewajipan membayar cukai, terdapat sebilangan kecil yang tidak terlepas daripada sikap tidak bertanggungjawab. 'Case study' yang dibentangkan adalah diolah daripada kes sebenar yang diselesaikan dengan kaedah dan teknik siasatan terkini. Ilmu penyiasatan yang telah dibentangkan sangatlah berguna namun ada juga yang perlu diubahsuai sedikit-sebanyak bagi menyesuaikan dengan keadaan Malaysia. Malaysia tidak mustahil akan mencapai tahap keberkesanan dan kecekapan NTA, Japan ini sedikit masa lagi jika dilihat kepada perkembangan dan kerjasama yang berjalan mutakhir kini.

Sedikit gambar kenang-kenangan untuk tatapan para pembaca.

Di hadapan; penceramah Mr Teruo Nakano, Chief, Riview Section, Criminal Investigation Division, NTA, Japan dan penterjemah Ms Rika Watanabe.

Makan malam bersama KP Hasil Dalam Negeri Malaysia; Dato' Hasmah Abdullah (kanan sekali). Berdiri; Ms Kasumi Miura, Depannya; Mr Muroya, berT-shirt jalur; Mr Masato Yamamoto, Kiri sekali; Pn Siti Rosnah.

Ms Kasumi Miura, Investigator, International Division (Criminal Investigation), TRTB, Japan beramah mesra dengan KP Hasil Dalam Negeri Malaysia semasa majlis makan malam.

Tanda penghargaan kepada salah seorang penceramah. Pengarah Akademi Percukaian Malaysia menyampaikan cenderahati kepada Mr koichi Muroya, Assistant Director, Criminal Investigation Division, NTA, Japan.


Majlis Penutup dan Penyampaian Sijil. Wakil JICA (Japan Interntional Corpoation Agency) menyampaikan ucapan.

alif mim alif nun ta'

Saidina Umar Al Khattab suatu malam keluar bersama Saidina Usman Ibnu Affan melihat rakyat jelata dan keadaan semasa. Ketika sampai di pertengahan perjalanan, mereka melihat satu kafilah perdagangan yang sarat dengan muatan dalam perjalanan menuju ke arah pasar. Selepas seketika, para pedagang tersebut berhenti berehat sehingga terlena di pertengahan perjalana tersebut. Saidina Umar dan Saidina Usman yang melihat keadaan tersebut mendekati kafilah perdagangan tersebut mendapati tiada sesiapun di antara mereka yang berjaga. Oleh itu, Saidina Umar dan Saidina Usman merenung di antara satu sama lain dan memutuskan untuk menjadi penjaga kepada barang-barang dagangan tersebut. Di kala waktu subuh hampir tiba, Saidina Umar mengejutkan para pedagang tersebut untuk bersiap sedia menunaikan solat Subuh.

Peristiwa ini berlaku di zaman pemerintahan Saidina Umar dan Baginda menjalankan tugas sebagai ‘pak guard’ pada masa tersebut kerana rasa tanggungjawab atas amanah yang dipikulnya memastikan keselamatan dan kesejahteraan rakyat jelata sentiasa dipelihara. Begitulah besarnya nilai AMANAH kepada seorang Sahabat kepada junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W yang terkenal sebagai A-Amin (orang yang beramanah).

Perkataan amanah ini seringkali kita lupa dek istilah lain yang seringkali menjadi bahan pujian. Sebagai contoh, apabila kita melihat kehebatan seseorang itu mendapat markah yang tinggi dalam peperiksaan, kepandaiannya dijadikan satu asas kepada status yang sangat tinggi di kalangan rakan-rakan. Contoh-contoh lain sangat banyak mutakhir ini kerana setiap penganjur akan wujudkan pelbagai jenis anugerah tidak cukup dengan anugerah utama. Fenomena ini, jika terlalu mengagongkan kejayaan tanpa didasarkan kepada sikap amanah akan mempromosikan pepatah lama "membujur lalu melintang patah". Dari segi perspektif yang lain pula, ada pekerja atau pelajar sangat beramanah dalam menjalankan tanggungjawab yang digalas, namun amanah yang perlu dipikul sebagai hamba Allah dipandang rendah dan menyusahkan seperti memikul sekam padi yang memiangkan. Keseimbangan dalam persoalan amanah untuk urusan duniawi dan ukhrawi adalah penentu kepada kebahagian di dunia dan akhirat.

Kepentingan amanah ini jelas jika dilihat pada sifat wajib bagi nabi meletakkan sifat amanah mendahului sifat fathonah (cerdik). Walaupun ianya 5 huruf, tetapi melaksanakannya dengan sebaik mungkin bukanlah semudah lima langkah atau lima perkataan tetapi menuntut kepada satu pengorbanan dan jihad yang istiqamah.

Nasihat untuk diri sendiri. Tidak ada kena mengena dengan yang masih hidup ataupun sudah meninggal dunia.

Alfateh.

Monday, June 1, 2009

Bersediakah kita?

Berdebarnya perasaan ini bila melangkah ke dewan peperiksaan. Semua peralatan dan bahan-bahan yang tidak berkaitan perlu diletakkan berjauhan. Yang tinggal di atas meja hanyalah alatulis dan calculator sahaja. Rakan-rakan belajar yang juga ahli kumpulan assignment semuanya bertebaran di dalam dewan peperiksaan. Semuanya hanya memikirkan hal-ehwal sendiri. Setelah 12 minggu sama-sama belajar dan berkongsi ilmu, cabaran hari ini perlu dihadapi secara nafsi-nafsi. Ucapan ‘good luck’ yang seringkali diucap oleh rakan-rakan sebelum exam sahaja yang dapat didengar sayup-sayup.

Pantang sedikitpun mata ini menjeguk rakan-rakan sebelah, pengawas peperiksaan cepat-cepat menjeling. Sebelum ini seperti seringakali pernah berselisih dengan pengawas-pengawas ini di sekitar kampus dan pernah masing-masing melontar dan membalas senyuman, tapi kali ini tajam jelingannya menyilaukan pandangan. Inilah perasaan yang tidak dapat dielak apabila hendak menghadapi peperiksaan.

Di kala itu, datang satu pertanyaan bagaimana pula dengan peperiksaan yang setiap orang Islam akan hadapi setelah tempoh masa untuk bersiap sedia di pentas dunia ini berakhir. Itulah dia peperiksaan di alam barzakh. Setiap soalan sudah diketahui. Jawapannya juga sudah dikatahui.

Soalannya;
Siapakah Tuhan kamu?
Siapakah Nabi kamu?
Apakah agama kamu?
Apakah kiblat kamu?
Siapakah saudara kamu?
Apakah pegangan iktikad kamu?
Dan apakah kalimah yang kamu bawa bersama-sama kamu?

Jawapannya;
Allah Taala Tuhanku,
Muhammad nabiku,
Islam agamaku,
kitab suci Al-Quran ikutanku,
Baitullah itu kiblatku, malahan solah lima waktu, puasa di bulan Ramadhan,
mengeluarkan zakat dan mengerjakan haji diwajibkan ke atas aku.
Semua orang Islam dan orang yang beriman adalah saudara aku,
bahkan dari masa hidup hingga aku mati aku mengucap:
"La ila ha illallah Muhammad da rasulullah".

Tetapi, sayangnya bukanlah lidah yang menjawab dengan intonasi yang meyakinkan dan sangat lancar seperti jawapan yang seringakali diperdengarkan semasa talkin dibacakan. Tetapi amalan soleh di dunia sahajalah yang akan menjawabnya. Cukupkah lagi?.